Sunday 6 November 2011

2. Nasi Ambeng

Tentu ramai dikalangan anda yang ada yang tidak tahu dengan masakan jawa iaitu "Nasi Ambeng" mungkin kedengaran agak pelik dan janggal dikalangan masyarakat Malaysia khususnya buat orang melayu sendiri. Ini kerana masakan ini berasal daripada Kepulauan Jawa, Indonesia tetapi ianya amat sinonim bagi masyarakat Malaysia yang berketurunan jawa kerana hanya mereka sahaja yang mampu menghasilkan makanan ini. Ia merupakan makanan tradisi masyarakat jawa yang kian pupus pada hari ini kerana tidak ramai golongan muda yang mahir membuat makanan tersebut. Oleh sebab itu, penulis ingin berkongsikan masakan ini buat anda semua agar ia tidak akan pupus dan sentiasa berterusan selamanya.

Untuk menghasilkan hidangan ini boleh dikatakan terlalu banyak bahan-bahan yang diperlukan kerana pada kebiasaan makanan ini dibuat ketika waktu kenduri di kampung-kampung dan di makan secara berkumpulan semasa waktu makan selepas selesai kenduri para jemputan hanya akan menjamah sedikit sahaja, kemudiannya akan membungkus untuk dibawa pulang untuk dikongsikan bersama keluarga. Oleh itu, tuan rumah akan menyediakan daun pisang, kertas surat khabar dan plastik untuk setiap tetamu agar mudah untuk mereka membawa pulang dan biasanya dalam satu talam hidangan dibahagikan kepada empat bahagian sahaja. ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan kenduri tersebut dan mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung serta keluarga.

Justeru itu, penulis cuba untuk memberikan panduan cara-cara menghasilkan masakan ini agar anda semua dapat mencuba membuatnya sendiri dirumah. Dibawah ini saya telah siap menyediakan senarai bahan-bahan yang wajib ada dalam membuat Nasi ambeng ini.

Antara bahan-bahannya ialah seperti : 
    1. Nasi Putih
    2. Ayam Masak Kicap
    3. Mee Goreng
    4. Serunding Kelapa
    5. Sayur Goreng Jawa
    6. Sambal Tempe Jawa
    7. Talam
    8. Daun Pisang

Cara-cara penyediakannya adalah seperti berikut :


1. Nasi Putih

-Penulis rasa anda semua pasti mengetahui cara memasak nasi putih ini bukan.

2. Ayam Masak Kicap

Bahan-bahannya ialah :
  •     1 bahagian paha ayam
  •     Garam kunyit secukupnya
  •     Minyak untuk menggoreng
  •     1/2 biji bawang besar -hiris nipis
  •     2 ulas bawang putih - mayang
  •     1cm halia- cincang halus
  •     Kicap pekat manis secukupnya
  •     2-3 biji cili padi- potong dua
  •     1-2 batang cili hijau
Cara-cara memasaknya ialah :
  1.     Potong ayam kecik-kecik dan bersihkan
  2.     Lumurkan ayam dengan garam kunyit dan goreng sehingga 2/3 masak. Kemudian ketepikan
  3.     Ambil dua sudu besar minyak lebihan goreng ayam tadi. Tumiskan bawang besar, bawang putih, halia dan cili sampai naik bau.
  4.     Kemudian masukkan kicap dan ayam.
  5.     Goreng sampai ayam masak.
  6.     Akhir sekali kalau suka cili hijau bolehlah hiris cili hijau dan masukkan ke dalam ayam.
  7.     Goreng sekejap dan padamkan api.
  8.     Siap untuk dihidangkan.

3. Mee Goreng Jawa

Bahan-bahannya ialah :
  •     Mee kuning 2 paket
  •     Taugeh 50 sen
Bahan untuk di mesin :

  •     4 biji Bawang merah
  •     3 ulas Bawang putih
  •     1.5 biji buah keras
  •     Kicap 4 sudu
  •     Lada kering 2sudu
  •     1 sudu lada hitam
  •     1 sudu udang kering
  •     Letak sos dan gula untuk manis
Cara-cara memasaknya ialah :
  1.     Tumis bahan-bahan yang dimesin sehingga garing.
  2.     Masukkan mee dan gaul rata.
  3.     Masukkan taugeh.
  4.     Gaul sebentar dan angkat.

4. Serunding Kelapa

Bahan-bahannya ialah :
  •     Sebiji kelapa parut
Bahan untuk di mesin

  •     Jintan manis 1 jemput
  •     1sudu jintan putih
  •     3 sudu ketumbar
  •     4 batang serai
  •     1/2 inci lengkuas sebesar ibujari
  •     1/2 inci halia
  •     4 ulas bawang putih
  •     4 biji bawang merah
  •     2 sudu lada kering dimesin
  •     1/2 inci kunyit hidup
  •     2 sdb udang kering
  •     Asam jawa sebesar ibujari diperah dan diambil airnya sahaja
  •     Gula dan garam secukup rasa.
  •     Semua bahan diatas dimesin sehingga halus
Cara-cara memasaknya ialah :
  1.     Goreng kelapa tanpa minyak (sangan) sehingga kelapa kekuningan sedikit.
  2.      Ini adalah supaya serunding tahan lama dan tidak basi.
  3.     Tumis bahan2 yang di mesin sehingga garing.
  4.     Masukkan gula merah sehingga gula hancur.
  5.     Masukkan air asam dan garam.
  6.     Biarkan atas api kecil sehingga agak pekat.
  7.     Masukkan kelapa yang telah digoreng.
  8.     Gaul rata lebih kurang 5 minit.
  9.     Bolehlah diangkat.
5. Sayur Goreng Jawa

Bahan-bahannya ialah :
  •     5 ketul hati dan pedal ayam direbus dan kemudian dipotong dadu
  •     500 gm udang halus dikopek kulitnya
  •     2 bungkus tempe dipotong dadu. kemudian digoreng. asingkan
  •     2 ketul tahu dipotong dadu. kemudian digoreng. asingkan
  •     2 biji kentang dipotong dadu. kemudian digoreng. asingkan
  •     Kacang panjang dipotong serong
  •     Suon tahu kering direndam
  •     3 biji bawang besar. dihiris halus
  •     4 ulas bawang putih. dihiris halus
  •     3 biji lada besar dihiris. boleh tambah cili padi sukakan pedas
  •     Serbuk lada sulah
Cara-cara memasaknya ialah :
  1.  Goreng bawang besar, bawang putih, lada besar yg sudah dihiris. dan garam secukup    rasa
  2.     Masukkan pedal dan hati. kacau lama sket dan kemudian masukkan udang
  3.     Tabur serbuk lada sulah dan kacau
  4.     Kemudian masukkan kacang panjang.
  5.     Pastikan sayur tidak terlalu masak. masukkan tempe, kentang, tahu yg sudah digoreng. kacau
  6.     Akhir sekali  masukkan suon dan tahu kering.
  7.     Jika ingin rasa yangg berlemak boleh masukkan santan dan gaul hingga kering.
  8.     Boleh juga ditambah sayur lain seperti lobak merak, kobis dan boleh juga dicampur kicap. (sambal goreng adalah merupakan menu wajib ada dalam nasi ambang).

6. Sambal Tempe Jawa

Bahan-bahannya ialah :

  •     2 bungkus tempe-potong dadu
  •     1 biji kentang-potong dadu
  •     Soun
  •     1 biji bawang besar*
  •     2 biji bwg putih*
  •     2-3 biji cili kering*
  •     Ikan bilis*
  •     Air asam jawa
  •     Garam
  •     Gula
  •     Kicap

Cara-cara memasaknya ialah :

  1.     Goreng tempe.
  2.     Goreng kentang.
  3.     Goreng soun. 
  4.     Mesinkan bahan-bahan yang bertanda *.
  5.     Panaskan minyak kemudian masukkan bahan yang telah dimesin tadi.
  6.     Letak sedikit garam dan gula .
  7.     Masukan sedikit air asam jawa. 
  8.     Tumis sehingga naik bau, kemudian masukkan kentang, tempe dan soun yang sudah siap digoreng tadi.
  9.     Masukan sedikit kicap dan gaul sehingga sebati.


Baiklah setelah selesai ke enam-enam proses itu tadi sekarang masa untuk proses penyediaan di talam pula. Sediakan satu talam besar dan dilapik dengan daun pisang, kemudian masukan nasi putih dalam keadaan bulat mengikut acuan bentuk yang anda inginkan. Seterusnya, letakkan ayam masak kicap, mee goreng, serunding dan sayur goreng di atas nasi putih dalam keadaan terususun sebelum siap untuk dihidangkan kepada tetamu untuk dimakan.

Itu sahajalah daripada proses pembuatab sehingga ke proses penyediaan nasi ambeng penulis berharap anda semua dapat mencubanya di rumah.

No comments:

Post a Comment